Viral

Harga tanah Kampung Bharu masih dalam rundingan dan hentikan spekulasi

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad pada 21 September yang mencadangkan pembangunan Kampong Bharu dengan menawarkan pembelian tanah pemilik sebanyak RM850 satu kaki persegi.

Harga dan cadangan pembangunan ini menjadi suatu perdebatan hangat sama ada harga yang ditawarkan tersebut munasabah ataupun tidak kepada pemilik tanah.

Mengambil kira kekangan yang ada di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS), tanah Kampong Bharu sebenarnya mempunyai nilai yang tinggi.

Harga yang dicadangkan hendaklah mengambil kira jenis pembangunan, nisbah plot dan kepadatan penduduk yang dibenarkan di kawasan tersebut oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga pelan pembangunan yang akan dibuat pada masa akan datang.

Sekiranya kerajaan ingin membangunkan pembangunan guna campur (mixed development) ke atas tanah tersebut, nilainya perlu diperhalusi kembali.

Malah, kerajaan tidak boleh mengambil satu kadar untuk semua lot tanah di Kampong Bharu kerana bukan semua akan dibangunkan sebagai pembangunan komersil.

Jadi, sekiranya tanah penduduk diambil untuk pembinaan bangunan komersil bertingkat, harganya perlu lebih tinggi daripada harga yang ditawarkan kini.

Selain itu, kerajaan juga harus menjelaskan sama ada syarat dan sekatan kepentingan pada tanah tersebut akan kekal apabila kerajaan mengambilnya kelak atau kerajaan akan memansuhkan syarat ini untuk membenarkan pemilikan oleh orang bukan Melayu.

Hal ini juga bakal meningkatkan harga tanah tersebut dan kerajaan harus memberi maklumat dengan terperinci kepada mereka apakah pembangunan yang akan kerajaan laksanakan ke atas tanah yang diambil ini.

Harga one size fits all tidak boleh dilaksanakan kerana ia memberi ketidakadilan kepada penduduk.

Apabila kerajaan membelinya kelak, kerajaan mempunyai hak untuk mengecualikan syarat tersebut dan ia bakal meningkatkan nilai tanah tersebut.

Oleh itu, kerajaan perlu kembali ke meja rundingan bersama pemilik dengan pelan yang lebih terperinci untuk menentukan harga nilaian tanah tersebut mengambil kira pembangunan masa depan tanah yang diambil itu.

Kerajaan mestilah memastikan pemilik tanah diberi harga terbaik apabila diambil kelak.

Nasi Lemak Antarabangsa

Kedua, secara dasarnya pembangunan Kampong Bharu ini hendaklah mengekalkan ciri-ciri tradisi kampung Melayu yang perlu dipelihara.

Walaupun ia berada di tengah-tengah bandar, pembangunan tidak semestinya perlu mengikut rekaan KLCC, Midvalley atau mana-mana pembangunan moden yang begitu banyak di Malaysia ini.

Saya ambil maklum pelan pembangunan Kampong Bharu yang akan mewujudkan ruang awam seperti Taman Warisan Melayu, Kompleks Warisan dan Taman, Pusat Kesenian, Persembahan dan Kebudayaan Melayu, tetapi kerajaan mesti memastikan pembangunan ini lestari dan people centric.

Paling penting, sesuatu yang mengekalkan hubungan budaya dan tradisi Kampong Bharu yang dipanggil sebagai “living heritage” tanpa perlu mengubah landskap kehidupan penduduk secara menyeluruh.

Atas dasar ini, cadangan untuk membina menara mercu di Kampong Bharu wajar dipersoalkan.

Adakah perlu membina sebuah lagi bangunan pencakar langit di tengah-tengah ibu kota, walhal apa yang warga kota perlukan adalah lebih banyak ruang awam.

Pembinaan menara mercu tanda ini menimbulkan pelbagai persoalan mengenai sumber dana, pemaju dan keperluan membinanya.

Saya berharap kerajaan akan melibatkan penduduk dan pemlik tanah dalam pelan pembangunan ini dan mendengar cadangan mereka.

Sewajarnya kerajaan harus menggalakkan pemilik tanah untuk bersama mengadakan usahama dengan pemaju dan kerajaan dengan menubuhkan koperasi dan/atau badan amanah untuk menjaga kepentingan Kampong Bharu.

Kerajaan perlu memberikan tawaran istimewa kepada pemilik Melayu yang ingin sama melibatkan diri dalam pembangunan Kampong Bharu agar pembangunan ini kelak benar-benar memenuhi inspirasi orang Melayu amnya.

Oleh itu, saya mencadangkan kepada kerajaan untuk mengambil langkah-langkah berikut:

a. Berunding semula harga dengan pemilik tanah dengan mengemukakan pelan terperinci bersama harga nilaian tanah selepas pembangunan Kampong Bharu kelak mengambil kira jenis pembangunan, nisbah plot dan kepadatan penduduk yang dibenarkan di kawasan tersebut;

b. Melibatkan pemilik Kampong Bharu dan penduduk sekitar dalam pelan pembangunan agar pembangunan ini merupakan people centric, dan dapat memelihara budaya dan tradisi Kampong Bharu dan tanpa menukar landskap kehidupannya secara menyeluruh.

c. Mencari struktur terbaik untuk melibatkan usaha sama pemilik tanah Kampong Bharu dengan pemaju dan kerajaan sama ada melalui badan amanah, koperasi, syarikat usaha sama demi menjaga kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu sentiasa terpelihara.

Walaupun tidak ramai orang Melayu memiliki tanah di sana, saya percaya ramai orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya mahu melihat Kampong Bharu dibangunkan dengan mengekalkan ciri-ciri tradisinya terutamanya sebagai pusat pelancongan makanan (food tourism) yang merupakan “mercu tanda” kepada Kampong Bharu selama ini

Sumber: Mkini@

Comment here