Viral

Jho Low akan pulang hujung tahun ini ke tanahair, kata IGP

IGP, Abdul Hamid Bador yakin polis mampu membawa pulang ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low ke negara ini, selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Beliau berkata, polis mempunyai maklumat bahawa Jho Low kini mendapat perlindungan daripada pihak tertentu dan bebas bergerak selain boleh menjalankan perniagaan tanpa sebarang sekatan.

“Kami tahu di mana dia berada. Begitu juga dengan empat lima individu yang menjadi konconya,” katanya di Shah Alam, hari ini.

Abdul Hamid berkata, proses rundingan dengan pihak yang memberi perlindungan itu masih berjalan setakat ini.

Ketua polis negara itu juga dipetik sebagai berkata, pihak yang melindungi Jho Low diingatkan bahawa individu itu dikehendaki bukan disebabkan kaitan politik sebaliknya membabitkan kesalahan jenayah komersial yang dianggap terbesar.

“Ini berkaitan jenayah tetapi mengapa pihak di sana tidak mahu berikan kerjasama. Polis sudah meningkatkan usaha supaya mereka akur,” 

Abdul Hamid turut menganggap Jho Low adalah individu paling licik dan mempunyai agenda jahat berikutan individu itu menggunakan wang bagi membeli pengaruh selain memberikan rasuah untuk kepentingan sendiri.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini diberitahu bahawa Jho Low merupakan perancang (orchestrator) bagi pihak Najib Razak untuk melaksanakan semua rancangan mereka di 1MDB.

Bekas perdana menteri berusia, 66, tahun itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Sumber : Mkini@

Comment here