Bacalah Doa Ini Pagi & Petang Insya Allah Masalah Hutang Akan Selesai

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang di rahmati Allah..

Sebagai seorang manusia biasa, kita tidak akan dapat lari daripada bebanan dan ujian. Kerap kali kita dilanda ujian dengan rasa sedih dan dukacita, rasa lemah dan malas, rasa kedekut dan penakut, bebanan hutang dan tekanan daripada penindasan orang.

Siapakah yang akan bersedia menjadi ‘teman’ buat kita kongsikan dugaan dan ujian yang menguji empunya diri ini dari hari ke hari? Mungkin untuk tempoh yang panjang ?

Kesediaan manusia terbatas, kesabaran manusia terhad, kemurahan manusia bersempadan dan kita amat memerlukan bantuan yang berpanjangan serta mungkin di luar kemampuan manusia biasa.

Rasulullah saw mengajar kita agar sentiasa mendambakan diri hanya kepadaNya semata-mata. KepadaNya kita menghambakan diri dan kepadaNya jua kita memohon segala pertolongan.

الَّلهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ العَجْزِ وَالكَسَلِ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ البُخْلِ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ غَلَبَةِ الدَّينِ وقَ?ْرِ الرِّجَالِ

“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada dukacita dan rasa sedih; aku berlindung denganMu daripada lemah dan malas; aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.”

Kisahnya :

Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid lalu terserempak seorang yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Wahai Abu Umamah, aku lihat engkau duduk di masjid bukan pada waktu solat, kenapa?” Jawab Abu Umamah: “Dukacita dan hutang menyelubungiku, wahai Rasulullah!”

Jawab Rasulullah: “Mahukah kamu aku ajarkan suatu bacaan jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.”

Abu Umamah menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Apabila tiba waktu pagi dan petang bacalah: اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن… (Doa di atas). Kata Abu Umamah: “Aku membaca doa tersebut, lalu Allah menghilangkan rasa dukacitaku dan melangsaikan hutangku.”

(Riwayat Abu Daud daripada Abu Said al-Khudri).

Ada baiknya kita beramal dengan doa ini pada setiap pagi atau petang agar terbina keakraban hubungan dengan Allah swt. Doa ini adalah sebahagian daripada ‘Al-Ma’thurat’, yang bermaksud amalan wirid, zikir dan doa yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah yang diamalkan oleh Nabi SAW dan dikumpulkan oleh al-Imam al-Syahid Hassan Al-Banna untuk menjadi manusia soleh.

Tanpa hubungan yang akrab dengan Allah jiwa kita akan menjadi keluh kesah kerana tiada kedamaian. Benarlah kata-kata Syeikhul Islam dalam al-Kalimuttayyib: “Tanpa zikrullah secara istiqamah, diri itu umpama ikan yang tercampak keluar dari airnya.”

Mari kita ingati akan janji Allah swt di dalam al Quran yang bermaksud,

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.”  (Surah At-Talaq, 65: 2-3)

Selamat beramal.

Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib Presiden I I-Medik

Blog: Peduli Ummah

* Dr Zainur Rashid juga merupakan AJK ISMA Cawangan Seremban & Perunding Aman Palestin.

Sekian sahaja yang dapat saya kongsikan, dipersilakan share.

Author: admin

Leave a Reply