JET peribadi kini bukan lagi lambang kemewahan, mahupun digunakan untuk menunjuk-nunjuk kekayaan, tetapi ada ketikanya ia menjadi keperluan buat mereka yang berkemampuan.
Tanpa perlu memiliki, anda masih boleh diterbangkan secara eksklusif ke serata dunia dengan menyewanya secara khas atau catar. Yang penting ada wang!
Namun, bukan calang-calang orang boleh menggunakannya kerana perkhidmatannya menelan belanja yang tinggi, malah caj juga dalam nilai mata wang dolar Amerika!
Pesawat yang tersedia untuk penerbangan catar. Foto Elite Jets Sdn Bhd
Seperti sebuah syarikat tempatan ini, pelanggan yang menggunakan perkhidmatan catar jet peribadinya terdiri daripada orang kenamaan (VIP), kerabat diraja, syarikat korporat, termasuk individu berpengaruh dari dalam dan luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Elite Jets Sdn Bhd, Kapten Hani Salman Ahmad berkata, syarikatnya menyediakan kira-kira 50 pesawat yang disewakan khas daripada syarikat penerbangan seluruh dunia untuk kemudahan pelanggan.
Sejak beroperasi pada 2008, hampir 85 peratus pelanggannya adalah syarikat korporat dan selebihnya merupakan individu secara perseorangan atau untuk kegunaan peribadi.
Kapten Hani Salman Ahmad. Foto AZMAN GHANI
Beliau yang berpengalaman sebagai juruterbang hampir 30 tahun memberitahu, kadar sewa khas bergantung kepada tempoh penerbangan dan jenis pesawat yang digunakan.
“Jet peribadi yang biasa bermula dari kapasiti sembilan penumpang dengan kadar sewanya adalah AS$7,000 (RM29,199) sehingga AS$8,000 (RM33,367) sejam, manakala kapasiti 16 penumpang boleh mencapai sehingga AS$16,000 (RM66,742) sejam.
“Pesawat yang lebih besar pula mempunyai 24 tempat duduk untuk pelanggan korporat, secara purata AS22,000 (RM91,766) sejam,” katanya kepada ditemui mStar Online dalam satu temuramah di Ampang, baru-baru ini.
Ruang kabin di dalam sebuah jet peribadi. Foto Elite Jets Sdn Bhd
Pada Februari 2017, tular mengenai kelas mengaji Al-Quran pada ketinggian 30,000 kaki yang dikendalikan oleh johan qariah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman, dalam jet peribadi serba mewah yang diuruskan oleh Elite Jets dengan kadar penerbangan RM33,000 sejam.
Elite Jets pernah menyediakan perkhidmatan pengendalian darat untuk penerbangan bagi pesawat rasmi Air Force One, yang dinaiki oleh Barack Obama pada 2014 yang ketika itu merupakan presiden Amerika Syarikat (AS), dalam lawatannya ke Malaysia.
Ia juga mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records, selepas mengendalikan urusan penerbangan bagi pesawat juruterbang solo negara, Kapten James Tan ketika mengelilingi dunia dalam program 1Malaysia Around The World (1RTW) pada 2013.
Hani Salman berkata, beberapa selebriti antarabangsa juga pernah menggunakan khidmat Elite Jets iaitu Raja Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan, pelakon terkenal dari Hong Kong, Datuk Jackie Chan dan Andy Lau.
Kapten Hani Salman pernah menerbangkan Shah Rukh Khan semasa menjadi juruterbang dan kini Raja Bollywood itu menggunakan khidmat jet peribadi kendalian syarikatnya, Elite Jets.
Menurut anak jati Butterworth, Pulau Pinang ini, pelanggan yang menempah perkhidmatan secara peribadi untuk bercuti bersama keluarga atau ke destinasi bulan madu bersama pasangan, mereka juga menjadikan jet tersebut sebagai kejutan hari ulang tahun kelahiran atau perkahwinan.
Sebarang urusan untuk menggunakan jet peribadi adalah hak privasi pelanggan, tetapi tiga butiran asas yang perlu diketahui iaitu destinasi, berapa hari dan bilangan penumpang.
“Perkhidmatan dilengkapi dengan juruterbang, kru kabin dan pengendalian operasi penerbangan. Konsep kita adalah bayar dulu, baru terbang… melainkan terdapat pelanggan setia atau yang sering menggunakan perkhidmatan ini, baru kita buat secara kredit.
“Pelanggan kami ada di mana-mana, bukan setakat dari Malaysia, seperti dari Afrika Selatan yang menghubungi kami untuk penerbangan catar dari Dubai ke Johannesburg,” katanya sekali gus membuktikan perkhidmatan syarikat anak Malaysia ini dipercayai.
Ditanya mengenai perkhidmatan paling mahal yang pernah disediakan Elite Jets selama 10 tahun beroperasi, Hani Salman mendedahkan caj tersebut adalah kira-kira AS$600,000 (RM2.5 juta) bagi penerbangan pergi balik ke London, United Kingdom membabitkan pelanggan kerabat diraja.
Hani Salman (kanan) mengusahakan perniagaan jet peribadi catar bersama isteri yang juga Pengarah Elite Jets, Nik Elena Zurenee Nik Mustpha.
Beliau turut berkongsi pengalaman mengenai seorang pelanggan VIP yang menempah jet peribadi pada saat akhir, semata-mata mahu mengambil barang peribadi yang tertinggal.
Bercakap mengenai insiden yang berlaku dalam tahun ini, Hani Salman berkata, ahli perniagaan wanita itu menghubunginya dan memberitahu mahu menggunakan khidmat jet peribadi itu untuk tempoh singkat dan sanggup membelanjakan kos penerbangan kira-kira RM300,000.
“Dia kata cuma nak turun (di destinasi) tak sampai setengah jam untuk ambil barang. Siapa yang buat macam tu kat Malaysia? Dia seorang saja. Sampai saja, ambil barang lepas tu balik. Dia naik jet pukul 12 tengah malam dan bertolak balik pukul 2 pagi.
“Pesawat yang tersedia di lapangan terbang ketika itu adalah untuk kapasiti 15 orang. Sedangkan dia cuma datang bersama seorang lagi mungkin pembantunya. Jadi, caj perkhidmatannya agak tinggi iaitu AS$70,000 (RM291,849), dengan hanya 20 minit di darat untuk ambil barang peribadi yang mungkin bernilai kira-kira RM5,000,” katanya.
Pasangan suami isteri ini turut mengusahakan syarikat pelancongan dan pengembaraan, Elite Jets Travel & Tours yang mula beroperasi sejak akhir tahun lalu. Foto AZMAN GHANI
Beliau yang enggan mendedahkan identiti ahli perniagaan wanita terkenal itu demi menjaga privasi pelanggannya bagaimanapun mendedahkan bahawa perkhidmatan itu dibayar secara tunai.
“Dia hubungi saya saat akhir kerana urgent. Pada mulanya kami pun hairan tetapi mungkin barang yang tertinggal itu adalah satu kecemasan kerana barang yang penting.
“Bagi kami di Elite Jets, apa yang lebih penting adalah perkhidmatan disediakan mengikut kemahuan dan memuaskan hati pelanggan,” katanya, sambil menambah bahawa sekurang-kurangnya dua atau tiga jam diperlukan sebelum penerbangan, bergantung kepada kesediaan pesawat dan destinasi.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Sumber: mStar via GengJoyah