“Kerap Berselawat, Amal Air Suam” -Wanita Cecah Usia 107 Tahun Kongsi Petua Sihat

Muar: Kerap berselawat, minum air suam lebih enam gelas sehari dan pemakanan sihat dengan mengurangkan gula antara petua diamalkan seorang wanita berusia 107 tahun.

Bukan itu sahaja, ingatan Umi Kastawi juga masih kuat apabila mampu cam individu dalam kalangan keluarga dan jirannya juga serta mengingati kenangan pergi menoreh getah dengan berbasikal hingga belasan kilometer setiap hari suatu ketika dahulu.

Cucu perempuannya yang juga seorang guru, Nurhayati Khalil, 41, berkata, secara rasmi usia neneknya itu adalah 107 tahun, namun jika diikutkan usia sebenar mungkin sudah lebih berdasarkan tanda ‘*’ pada nombor kad pengenalannya.

“Pada usia muda, neneknya sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat, mengurangkan gula, amalkan ulaman selain tidak gemar memakan daging serta kerap juga berpuasa sunat.

“Nenek saya juga seorang yang cergas apabila dia tidak pernah duduk diam ketika usia mudanya dan bercucuk tanam sekitar kediaman dahulunya.

“Bayangkan setiap kali balik menoreh getah dia boleh buat lagi kerja lain antaranya memasak, berkebun, bela ayam dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Liang Batu di sini, hari ini.

Nurhayati berkata, neneknya dilahirkan dan dibesarkan di persekitaran kampung bersama keluarga ketika remaja.

“Berselawat tanpa mengira waktu itu antara pesanannya kepada ahli keluarga selain bersyukur serta pasrah dalam apa juga dugaan kehidupan.

Mengulas lanjut mengenai tahap kesihatan neneknya, Nurhayati berkata, ingatan neneknya masih kuat namun tahap pendengaran serta penglihatannya semakin terjejas serta kini terpaksa dibantu untuk bergerak.

“Ada ketikanya nenek masih boleh cam sesiapa yang pernah rapat dengannya dahulu dan juga kerap dia berpesan kepada cucu cicit agar belajar bersungguh-sungguh.

“Kami bersyukur kerana nenek dikurniakan usia yang panjang melebihi satu abad serta mampu melihat cucu serta cicitnya membesar di depan mata.

“Dia juga sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 baru-baru ini,” katanya.

Umi mempunyai seorang anak perempuan, tujuh cucu serta 28 cicit dan tiga piut.

Sumber : hmetro.com

Author: adminjv

Leave a Reply