Cuti Perayaan Mesti Ramai Bersedia Untuk Balik Kampung
Kewujudan masyarakat berbilang kaum di Malaysia bukan sahaja bermaksud kita ada banyak pilihan makanan daripada pelbagai bangsa tetapi juga menandakan berbagai perayaan yang dapat kita sambut bersama-sama. Jika sebut sahaja perayaan, perkara pertama yang muncul di minda mestilah cuti dan balik kampung. Betul tak?
Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum tiba cuti perayaan, pasti ramai yang sudah siap merancang pelbagai agenda dan memasang niat untuk balik kampung halaman. Walaupun ada bangsa tidak menyambut perayaan ini, confirm ada yang dah tak sabar-sabar balik kampung! Bila sudah excited nak balik kampung, ramai di antara kita terlupa pelbagai perkara yang perlu dibuat sebelum bertolak pulang. Tidak perlu susah-susah fikir, ini kami kongsikan beberapa perkara perlu dilakukan bagi melancarkan perjalanan balik kampung anda!
Ini 10 Perkara Anda WAJIB Buat Sebelum Balik Kampung
1. Persiapkan Kenderaan
Perjalanan balik kampung boleh memakan masa yang lama. Kesesakan jalan raya pada musim perayaan tidak boleh dipandang remeh. Pastikan anda periksa keadaan tayar, brek, penghawa dingin dan keseluruhan komponen kereta agar tidak berlaku perkara tak diingini dalam perjalanan. Bagi yang pulang dengan kenderaan awam, pastikan anda membeli tiket pada tarikh yang betul.
2. Isian Kad Pembayaran Tol
Jangan lupa periksa betul-betul berapa baki yang terdapat dalam SmartTAG atau kad Touch ‘n Go anda. Pastikan jumlah tersebut mencukupi untuk digunakan sepanjang perjalanan nanti. Malaysia ni banyak tol, jangan lupa top up cukup-cukup ye!
3. Caj Telefon Bimbit Dan Power Bank
Jika merancang untuk mulakan perjalanan pada waktu pagi, pastikan anda caj telefon bimbit dan power bank pada malam sebelumnya. Jangan lupa bawa kabel pengecas sebagai persediaan untuk mengecaj telefon bimbit anda di dalam kereta juga.
4. Hiburan Dalam Perjalanan
Ini memang penting terutamanya untuk individu yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil. Untuk mengelakkan anak-anak meragam kerana perjalanan yang lama dan mengganggu pemanduan, anda boleh muat turun filem atau lagu-lagu menarik buat tontonan mereka. Boleh juga bawa buku-buku kesukaan untuk mereka baca.
5. Makanan Dan Minuman
Persediaan makanan dan minuman ini bukan sahaja penting untuk hilangkan rasa lapar dan dahaga, tetapi juga bagi memastikan pemandu kekal cergas sepanjang pemanduan. Sediakan snek ataupun gula-gula kepada pemandu supaya mereka tidak rasa mengantuk sewaktu memandu. Jika masih terasa mengantuk, pastikan anda berhenti seketika untuk berehat.
6. Kunci Dan Penggera
Bukan persiapan semasa perjalanan sahaja perlu diambil perhatian, persiapan sebelum memulakan perjalanan dan meninggalkan rumah juga sama pentingnya. Pastikan anda kunci semua pintu dan tingkap rumah termasuklah di tandas. Jangan lupa aktifkan sistem penggera dan kunci pagar rumah sebelum bertolak pulang ke kampung.
7. Gas Dan Dapur
Pastikan anda menutup gas regulator atau kepala tong gas dan dapur sebelum meninggalkan rumah. Seeloknya buka kepala tong gas dan jangan sesekali biar injap gas terbuka untuk mengelakkan daripada berlakunya kebocoran dan kebakaran yang tidak diingini.
8. Persediaan Perubatan
Ubat-ubatan asas seperti panadol, pil mabuk untuk mengurangkan motion sickness dan pil cirit-birit mesti disediakan awal-awal. Jangan lupa juga sediakan plaster sebagai persediaan jika berlaku sebarang kecederaan kecil dan beg kertas jikalau ada penumpang yang nak termuntah.
9. Penutup Tandas
Ini perkara penting, tapi jarang ada yang ingat untuk lakukannya. Jika anda merancang untuk pergi bercuti atau pulang ke kampung selama beberapa hari, pastikan penutup tandas dalam keadaan tertutup sebelum ditinggalkan. Ini bagi mengelakkan nyamuk bertelur di dalam mangkuk tandas dan mungkin boleh mengakibatkan pembiakan nyamuk Aedes.
10. Bantuan Jiran
Maklumkan kepada jiran yang dipercayai akan tempoh berapa lama anda akan meninggalkan rumah. Minta bantuan jiran tersebut untuk membantu memerhati keadaan rumah sewaktu ketiadaan anda. Kenali dan berinteraksilah dengan jiran tetangga supaya mudah untuk anda membantu satu sama lain di masa akan datang.
Semoga perjalanan berjalan lancar and selamat sampai ke destinasi!